Friday 23 September 2011

Warisan Tarian dan Kesenian - Part 1


Kebanyakan tarian dan kesenian di Semenanjung Malaysia telah diwarisi oleh tiga tamadun yang besar di dunia iaitu Tamadun Islam, Tamadun China dan Tamadun India. Manakala, Sabah dan Sarawak pula mempunyai tarian dan kesenian tersendiri mengikut kaum yang pelbagai di sana. Kesemua tarian dan kesenian ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dan sangat kaya dengan budaya yang pelbagai.


Sumbangan Tamadun Islam


Sebelum kedatangan Islam, muzik di Alam Melayu berunsurkan Hindu dan Buddha. Apabila Islam    datang ke Nusantara, Islam memperkenalkan bentuk-bentuk nyanyian yang mengagungkan Allah, Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat. Contoh persembahan yang diadaptasikan ialah seperti hadrah, rodat, dabus dan dikir rebana. Kesemuanya dipersembahkan secara berkumpulan yang diiringi dengan rebana dan gong. Antara contoh kesenian dari tamadun Islam ialah :


1) Rodat

Rodat merupakan sejenis muzik yang berasal dari tanah Arab. Perkataan rodat dipercayai berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ulang-ulik, bersahut-sahutan kembali atau yang menunjukkan berbalas-balas. Rodat juga dipercayai lahir bersama-sama nazam, maulud, berzanji, zapin, hasiddah, nasyid dan berhadrah.


2) Hadrah

Hadrah berasal dari negara Timur Tengah. Hadrah merupakan paluan gendang bersertakan nyanyian yang memuji kemuliaan Tuhan, nasihat kepada saudara seagama, pujian untuk pengantin dan sebagainya


3) Ghazal

Muzik ghazal juga berasal dari Tanah Arab yang dikatakan berkembang pesat di sekitar abad ke-8. Perkataan ghazal dipinjam daripada perkataan Arab yang bermaksud puisi kasih. Dari tanah Arab, ghazal berkembang ke Parsi, Turki, India dan tempat-tempat lain termasuklah Malaysia. Ghazal menjadi Dendang Istana dan merupakan persembahan utama dalam majlis-majlis keramaian diraja atau di pesta-pesta negara. Lagu Ghazal untuk Rabi'ah merupakan antara lagu ghazal yang popular di Malaysia sehingga kini.


4) Dabus

Muzik dabus hampir sama dengan hadrah dan rodat. Kumpulan muzik dabus berzikir memuji Tuhan dan Nabi Muhammad s.a.w dan juga mengiringi tarian biasa. Dabus berasal dari perkataan Bugis yang bermaksud batang besi yang tajam yang dipegang oleh penari semasa menari. Jumlah ahli kumpulan muzik dabus terdiri di antara 15-18 orang yang dibahagikan kepada lapan orang penari dan 8-10 ahli muzik. Alat-alat muzik yang digunakan dalam muzik dabus ialah rebana dan sebiji gong. Bilangan rebana berbeza dari kumpulan ke kumpulan. Sebilangan kumpulan pula menambah alat serunai untuk mengiringi nyanyian syair pada permulaan persembahan.


5) Nobat

Muzik nobat juga berasal dari istana kerajaan negara-negara Islam di Timur Tengah. Muzik nobat dipercayai wujud semenjak pemerintahan raja Pasai iaitu Sultan Malik Ul-Salih atau dikenali juga sebagai Merah Silu. Muzik nobat dari Pasai ini kemudiannya dibawa ke Semenanjung Tanah Melayu dan memainkan peranan penting dalam istiadat di istana kerajaan Islam Melaka. Nobat kini menjadi muzik istiadat di istana-istana di Tanah Melayu dan masih di kekalkan hingga ke hari ini. Muzik latar di dalam video di bawah merupakan contoh muzik nobat.


Selain contoh-contoh di atas, antara tarian Melayu yang popular sehingga sekarang ialah ;


1) Mak Yong Melayu

Tarian Mak Yong yang berasal dari Patani di selatan Thailand dicipta untuk hiburan kerabat diraja wanita, permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat diraja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantis, serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengisahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu


2) Kuda Kepang 

Tarian Kuda Kepang dibawa ke Negeri Johor oleh pendatang dari Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam, diiringi paluan gendang, gong dan angklung.




3) Zapin

Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Malaysia boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini, yang diperkenalkan oleh para mubaligh dari Timur Tengah, pada mulanya digunakan dalam amalan berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam. Semasa Dato' Siti Nurhaliza mengadakan konsert di Royal Albert Hall,London beliau turut mengetengahkan tarian zapin budi. Hal ini dapat mengetengahkan budaya Malaysia yang semakin hilang ditelan zaman.







4) Joget

Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah, dengan rentak yang agak laju. Tarian ini, yang dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami pelbagai usikan, berasal dari tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.


5) Tarian Lilin 

Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil di atas telapak tangan mereka, dan memaparkan gerak-geri yang penuh dengan kelembutan.


6) Silat

Salah satu tradisi Melayu paling tua yang juga merupakan sejenis seni mempertahankan diri, Silat juga adalah suatu seni yang boleh dipersembahkan dalam bentuk tarian. Dengan pergerakan badan yang penuh aksi serta bunga langkah, persembahan silat sememangnya menarik dan mengasyikkan.

Sumbangan Tamadun China


1) Tarian Singa 
Tarian ini, yang lazimnya dipersembahkan ketika perayaan hari Tahun Baru Cina, adalah merupakan persembahan yang penuh bertenaga dan menghiburkan. Menurut lagenda, singa adalah satu-satunya haiwan yang boleh menghalang Nian – sejenis haiwan dongeng yang selalu menyerang negara China dan mengorbankan manusia pada hari sebelum Tahun Baru Cina. Tarian naga adalah sebuah tarian bersemangat yang sentiasa diiringi paluan gendang tagu Cina, dan simbal, serta memerlukan keberanian dan penataan gerak tarian yang tepat diantara penari-penarinya.



Tarian Singa sempena sambutan Tahun Baru China
2) Tarian Naga

Naga adalah sejenis haiwan dongeng yang melambangkan kuasa luarbiasa, kebaikan, kesuburan, kewaspadaan serta kehormatan dalam budaya Cina. Tarian Naga lazimnya dipersembahkan ketika sambutan Tahun Baru Cina, dan dipercayai membawa tuah dan kekayaan bagi tahun yang baru. Tarian ini selalunya memerlukan seramai 60 orang bagi mempertunjukkan persembahan yang penuh kepakaran, keanggunan serta penataan gerak tarian yang tepat.



Sumbangan dari Tamadun India

Muzik di India terbahagi kepada dua iaitu tradisi muzik Hindustan di utara dan tradisi muzik Karnatak di selatan. Ramai ahli muzik yang terkenal seperti Tan Sen, Nayak Baiju, Ram Das Raj Bahadur (raja dari Malwa) dan Tantarang Khan.Tan Sen merupakan seorang ahli muzik istana pada masa pemerintahan Akbar. Tan Sen banyak mencipta rentak Raga yang baru seperti Miyan kee Todi,Miyan kee Malhar, Miyan kee Sarang, Darbari, Lankdhan, Sarang dan Dhulia-malhar. Terdapat ramai lagi ahli muzik istana seperti Raja Man Tanwar dari Gwalior. Beliau menghasilkan empat buah buku berkaitan dengan muzik seperti Sarvado UdayChandrovidaya, Raga Mala, Raga Mangaree dan Nartan ataupun Nidayan. Dalam muzik India, Thata merupakan hasil yang dibunyikan dari 12 nada daripada Octava iaitu gabungan mana-mana dari tujuh nada Octava.

1) India Bharata Natyam

Tarian klasik India ini bagaikan sebuah puisi dalam gerak tari. Tarian yang dramatik dan bersemangat ini berdasarkan kisah epik India purba, dan memaparkan lebih dari 100 gerak tarian dan gaya badan. Memandangkan tarian ini memakan masa yang lama untuk dikuasai, terdapat sesetengah penari kanak-kanak yang mula berlatih pada umur semuda lima tahun.



2) Bhangra

Banghra memaparkan tarian serta muzik masyarakat Sikh. Pada mulanya Banghra adalah sebuah tarian menyambut musim menuai, tetapi kini ianya memainkan peranan dalam pelbagai sambutan kemasyarakatan termasuk majlis perkahwinan dan sambutan Tahun Baru. Tarian ini lazimnya adalah berdasarkan tema-tema romantis, di mana nyanyian serta tarian yang diiringi paluan dholo, iaitu sejenis gendang bermuka dua, menjadikan tarian Banghra sangat menghiburkan.







No comments:

Post a Comment